nuffnang

Sunday, August 30, 2009

gadisku...



Awan yang mendung seakan memahami hati kecilku yang turut resah akan permainan dunia ini. Siang akan berlalu dan akan digantikan pada keheningan malam yang syahdu bersama sinaran purnama bulan dan dihiasi kerdipan bintang-bintang. Suasana malam seolah-olah membuatku mengingatkan memori indah. Aku menganggapkan purnama itu bagaikan kecerahan wajahmu si gadis, bintang-bintang umpama sinaran pada matamu. Indahnya islam kerana menyeru hidup si gadis untuk sentiasa menutup aurat diselubungi jubah dan hijab yang indah dan menjadi idaman seorang lelaki…

Gadisku….kerana rupa parasmu, kerana kecantikanmu, kerana keseksianmu, betapa seorang lelaki amat menyayangimu sedalam dalamnya lautan. Gadisku, kau memberi harapan kepada insan yang menyayangi. Namun aku juga sebagai seorang gadis tidak sanggup melihat engkau terus hanyut dalam buaian mimpi diulit syaitan dan nafsu. Nauzubillah.. “ Ya ALLAH lindungi kami dari pautan nafsu”.. Jangan kau terus leka cinta duniawi wahai si gadis.
Ketahuilah gadis ku menyayangi dan disayangi adalah fitrah manusia, bercinta itu tidak salah, tetapi memuja cinta itu salah. Mengapa perlu mencari sedangkan jodoh sudah ditentukan oleh Allah, dan sebagai seorang hamba kita perlu bersedia dengan jodoh yang ditentukan.. sudah ditetapkan seorang gadis yang baik untuk seorang lelaki yang baik.

Gadisku….tidakkah engkau tahu bagaimana keadaan kaum hawa pada zaman Jahiliyyah dahulu. Betapa kaum Hawa menjadi medan pertarungan nafsu. Betapa seorang ayah sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup kerana malu. Lihat, wahai gadis betapa kaum Hawa di zaman Jahiliyyah. Namun, satu cahaya membujur lalu, yang menyelamatkan maruah dan meninggikan kaum Hawa. Tahukah kamu cahaya apa??? Itulah cahaya Islam yang berimankan Allah Maha Esa.

Gadisku….namun zaman sudah pun berubah. Betapa sedihnya diriku melihat kau melempiaskan kecantikanmu yang sedang mekar dan melupakan kuntuman yang selama ini menjaga mu. Kau biarkan kumbang perosak menyedut madumu. Gadisku, bangkitlah dan sedarlah dari buaian nafsu. Dikau masih ada sinar harapan yang membuat mu tersenyum. kembalikan kuntuman mekar dan jagalah kelopakmu dari dipegang oleh tangan yang bernafsu serakah.

Gadisku..penuhi akalmu dengan mutiara ilmu. Teguhkan hati-hatimu dengan tiang iman dan takwa. Lindungilah dirimu dengan pagar syariat. Hiasilah peribadimu dengan bunga akhlak. Selimutkan dirimu dengan sutera kasih sayang ibu dan ayahmu. Rendahkan hatimu dengan rasa kehambaan dan naikkan martabatmu sebagai kaum Hawa. Bangkit dan bangun wahai gadis, betapa indahnya islam disisi. Inilah cebisan pesananku buat mu dan juga diriku yang bergelar gadis.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...